28 July 2011

Bahasa Anak..Fahamkah kita?

Saya tertarik dengan artikel ini yang saya dapati di http://saifulislam.com/?p=5386 , jadi saya ambil isi yang penting yang saya rasa dapat dijadikan renungan dan pengkongsian bersama. Semoga kita dapat manfaatnya.

FAHAMI JIWA ANAK

Semasa anak-anak masih kecil dan bercakap dengan bahasa-bahasa yang pelik itu, kita sentiasa tahu dan faham apakah maksud yang cuba disampaikan. Terasa begitu istimewa hubungan kita dengan anak-anak apabila kita sebagai ibu dan bapa menjadi satu-satunya manusia yang faham bahasa anak kita. Istimewa.
Namun mengapa semakin anak kita bercakap betul dengan perkataan-perkataan yang semakin bertambah, pelbagai dan serupa dengan dialek ibu bapa, kita menjadi semakin susah untuk memahami apa sebenarnya isi hati anak-anak kita. Kita sentiasa memberikan reaksi yang menunjukkan kepada anak-anak bahawa kita tidak faham, malah semakin tidak faham dengan anak-anak kita sendiri.
“Alaa, Abang Amin sudah balik. Lie tak naklah makan. Tak selera!” Hazli merungut, menolak hidangan makan tengah hari yang sudah sedia untuk dijamah.
“Kamu ni kenapa? Orang dah masak susah-susah, mengada-ngada pula buat perangai. Kalau tak kerana kamu, mak tak masak ayam ini, tahu. Makan!” bentak emak yang kepenatan selepas berjam-jam memasak di dapur.
“Tak nak!” Hazli berpeluk tubuh. Marah bunyinya.
“Abang Amin sudah tinggal seminggu di rumah kita dengan kamu, tak cukupkah lagi? Kalau kamu nak sangat, hah pergi kemas beg. Pergi rumah Pak Long kamu tu. Duduk sana. Tak payah balik sini!” tambah si bapa pula.
Hazli bangun dan berjalan menghentak-hentak kaki masuk ke biliknya. Pintu dihempas. Panas!
Si anak itu semasa kecilnya, dengan hanya menyebut huwaa huwaa pun emak dan bapanya tahu anak itu mahu dipeluk. Tetapi semakin petah anak bercakap sesuai dengan pertambahan usia, beliau semakin tidak difahami. Hazli merungut bukanlah kerana enggan makan. Malah perutnya memang kelaparan. Hazli hanya menyatakan kesedihannya kerana cuti sekolah sudah berakhir dan abang sepupunya yang pulang ke rumah selepas seminggu berkampung berkhemah di rumahnya.
Apa yang diperlukan, hanyalah beberapa bilah perkataan daripada mulut ibu dan bapanya yang menunjukkan mereka simpati dan memahami perasaan hatinya. Bukannya syarahan panjang lebar tentang kesusahan si ibu dan bapa bekerja mencari duit untuk membeli makan dan minum si anak. Segala fakta dan statistik yang diheret oleh ibu bapa ke medan telagah bersama anak-anak-anak, hanya membuktikan satu perkara sahaja.

Mereka tidak faham anak-anak mereka sendiri.

b00201

ANDAI KATA

“Kasihan ayah dengan Lie. Tak apa, cuti sekolah nanti, Lie pula tidur rumah Pak Long dengan Abang Amin, boleh?” tanya si bapa dengan nada memujuk.
Hazli memeluk bapanya.
Pasti sahaja mereka akan makan tengah hari dengan aman dan damai biar pun hati Hazli masih ada rasa sedih melihat satu bangku kosong yang sebelum ini diisi oleh Abang Amin, sepupu kegemarannya.
Bayangkan, betapa banyak perkataan yang berjaya dijimatkan. Fikirkan betapa banyak perasaan yang berjaya diselamatkan. Renungkan betapa indahnya kasih sayang yang berjaya diterbitkan. Semuanya dengan kesudian ibu dan bapa untuk memahami anak-anak mereka, sebagaimana yang pernah dibuat ketika mereka masih kecil.

TIDAK SENGAJA, TETAPI SENGAJA

“Hari ini, rasanya aku nak berleter, menjerit, memaki, mengherdik dan menyindir anak aku,” kata si bapa.
“Mudah-mudahan sampai di rumah nanti aku berpeluang untuk mengamuk, membalas soalan anak-anakku dengan tengking dan tinggi suara,” azam ibunya pula.
Tidak mungkin…
Mustahil ada ibu bapa yang azamnya begitu. Bercita-cita untuk memporak perandakan hidup anak-anaknya sendiri atau dengan sengaja mencederakan emosi mereka yang masih bertatih mengenal kehidupan. Semua orang mengimpikan satu hari yang aman damai, tenang, penuh kasih sayang.
Tetapi saban hari, sebaliknya jugalah yang terjadi.
Apa yang kita tidak mahu, itulah yang berlaku.
Kalau boleh kita mahu percaya bahawa hanya ibu bapa yang rendah pendidikan, jahil, atau datang dari latar belakang kehidupan yang huru hara sahaja yang berbahasa dengan bahasa yang menghancurkan kebahagiaan hidup anak-anak dan keluarga. Tetapi kita terpaksa akur. Ia bukan kesilapan-kesilapan yang boleh dikaitkan dengan kemiskinan atau rendah pendidikan.
Ibu bapa yang baik-baik juga menyalahkan, menghina, mengaibkan, menuduh, memperlekeh, mengugut, merasuah, melabel, menghukum, meleter dan menjatuhkan moral anak-anak.
Mereka tidak perlu kepada setereka panas, tali pinggang, putung rokok malah tidak juga rotan.

KUASA KATA

Apa yang digunakan hanyalah PERKATAAN.
Kita sering alpa betapa kuatnya kuasa PERKATAAN dalam membinasakan diri anak-anak. Memang benar action speaks louder than words. Tetapi perkataan juga mempunyai bisa yang sama dengan perbuatan dalam mencederakan jati diri anak-anak.
Semua ibu dan bapa mahu anak-anaknya membesar menjadi orang yang ceria, gembira, bahagian, berkeyakinan diri, bermotivasi dan bercita-cita tinggi. Tetapi impian itu kita juga yang musnahkan. Kita musnahkan ia dengan lisan kita yang sepatutnya bertaraf penutur doa untuk kejayaan mereka.
Alangkah kecewanya anak-anak jika mereka mendapat tahu bahawa semakin fasih mereka berkata, semakin mereka tidak difahami oleh ibu bapa. Semakin mereka cuba bersuara, apa yang dibalas hanyalah kata-kata yang mengundang binasa. Akhirnya makin anak-anak meningkat remaja, mereka makin berahsia dengan ibu bapa. Ceria di luar, diam membatu di rumah sendiri.
Kasih sayang bukanlah pinggan Corelle yang hanya dikeluar dan ditunjukkan pada majlis-majlis tertentu.
Biarlah kasih sayang itu jadi kegunaan harian. Walaupun ia sekadar pinggan ayan, cawan plastik dan sudu bengkok yang digunakan untuk melapik rezeki anak-anak. Rezeki mendapat doa dan kata-kata yang penuh rangsangan, dari ibu bapa sendiri.

No comments:

Post a Comment