06 October 2010

Bila memilih untuk berdiam


Pepatah melayu menyatakan “Kerana Mulut Badan binasa”

Ini menunjukkan berdiam diri adalah lebih baik dari teruskan berkata.
Dan Rasullulah ada bersabda mengenai kelebihan diam yang bermaksud:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau DIAM”. (Riwayat Bukhari & Muslim)

“Barangsiapa DIAM maka ia terlepas dari bahaya”. (Riwayat At-Tarmizi)

Kedua duanya telah membuktikan mulut adalah senjata yang paling bahaya.
Kerana di sinilah terkumpul segala dosa dan pahala. Dan yang paling menarik, salah satu cara untuk melawan syaitan adalah dengan cara berdiam diri. Menarik bukan.

Kita tak tahu bila marah, akan keluarlah kata kata yang tidak sepatutnya di mulut kita dan tika kita itu kita juga tak tahu atau mungkin jua buat buat tak tahu yang ada hati terluka akan kata kata kita itu.

Di sini saya nak berkongsi satu cerita.

Cerita Ayah, Anak dan Paku

(Inspirasi dari buku Hidup Bukan Rahsia, Zabrina A. Bakar) 
Amin resah kerana terlalu kerap naik angin. Sikapnya itu menyebabkan dia selalu bergaduh dengan kawan-kawan. Pantang tersilap gurau, lebam biji mata. Akibatnya, Amin dipulau oleh kawan-kawan. Semua mengelak bila terserempak dengannya. Siapa mahu berkawan dengan kaki belasah orang?!
Amin tahu dia yang bersalah, dia cuba menahan marahnya tetapi sukar sekali. Di rumah Amin mengadu kepada ayahnya tentang sifat marahnya yang sukar dikawal.
“Amin lekas naik angin la ayah, macam mana nak kawal marah? Amin tengok ayah jarang marah-marah”, Amin meminta pandangan ayahnya.
Si ayah tersenyum dan terus bergegas ke stor. Kemudian si ayah kembali dengan membawa sebekas paku dan tukul.
“Amin buat apa yang ayah suruh, kena janji dulu”, si ayah meminta anaknya berjanji.
“Ok, Amin janji”, Amin menurut. Dia mahu masalahnya selesai segera.
“Setiap kali Amin marah jangan bergaduh dengan sesiapa, tapi Amin ambil tukul ni dan paku sebanyak mungkin kat pokok tu sampai hilang marah”, ujar si ayah.
Mulai hari itu, setiap kali marah Amin akan melakukan apa yang disuruh ayahnya. Setiap kali marah, semakin berkurang paku pada pokok tersebut. Lama-kelamaan Amin sudah mampu mengawal perasaan marahnya, tanpa menukul paku lagi. Dia tersenyum.
“Ayah, Amin dah boleh kawal marah, cara ayah tu memang menjadi lah”, beritahu Amin.
“Baguslah, tapi Amin kena buat satu benda lagi”, jawab si ayah. Apa lagi ni?
“Amin kena cabut semula semua paku yang ada pada pokok tu”, sambung si ayah. Tanpa membuang masa Amin bergegas ke arah pokok dan mencabut kesemua paku di situ. Setelah selesai, Amin mendapatkan ayahnya.
“Amin nampak tak, apa jadi pada pokok tu?”, si ayah bertanya.
“Pokok tu berlekuk, bekas lubang paku-paku ni”, jawab Amin sambil mengangguk kepala.
“Itulah pengajarannya nak, sikap marah ini akan membekas di hati orang yang kita marahi. Mereka mungkin memaafkan kita, tetapi parutnya tak akan hilang. Jadi berhati-hati sebelum kita marah, kerana kesan buruknya akan tinggal selama-lamanya!”, jelas si ayah.
Berlubang di pokok tidak mengapa, andai hati manusia ‘berlubang’ payah hendak diubati. Apatah lagi jika manusia itu adalah ibubapa, isteri, anak, rakan baik atau pensyarah kita!! Maaf boleh diterima, parutnya kekal sampai akhir nyawa.

Renungi kembali, sudah berapa banyak hati yang kita lukai sepanjang hidup ini?


Berdasarkan cerita di atas adalah lebih baik jika kita memilih untuk berdiam dari melepaskan kata/amarah dari hati.

Saya jua tidak terlepas ingin memohon keampunan ke atas semua sahabat andai, jiran taulan atas apa jua keilapan yang lahir dari tutur kata.

Teristimewa jua buat abang, suamiku yang telah terlalu banyak menerima segala kata dan jua marah lahir dari mulut ini. Sesungguhnya tiada terniat dek hati atas apa jua yang dituturkan. Semuanya lahir dari rasa amarah yang tidak dapat di tahan. Kata yang lahir dari kepuasan diri. Sehingga tega menyakiti hati orang yang disayangi asalkan hati rasa puas bila menuturkannya. Mungkin jua hati saya tidak lagi bersih.

Tak lupa jua buat mak, abah, along dan jua adik adik. Bila marah, pasti kata yang lahir berbisa dari hujung mata pedang.

Benarlah kata pepatah “lidah itu lebih tajam dari hujung mata pedang”

Saya juga memohon kepada semua agar kita perbaiki diri supaya tahu di mana kegunaan lidah kita yang sepatutnya . Supaya tiada lagi hati yang terluka, hati yang berparut dan hati yang terhiris.

Untuk itu, biarlah saya memilih untuk berdiam

No comments:

Post a Comment