25 March 2011

Alkisah Botol Susu

Semalam selepas setengah jam sampai di rumah, kak adik mengamuk. Semuanya gara gara kerana botol susunya tertinggal di taska. Aduhai...puas dipujuk, kak adik tetap gak menangis, mengamuk. Saya yang kebetulan puasa ditambah dengan kepala yang tiba tiba berdenyut bercampur plak ngan penat yang tak abis lagi nie mula rasa nak marah. Tapi bila mengingatkan yang salahnya bukan pada kak adik, saya cuba mengawal diri.

"ummi, pergilah sekolah kak adik tue, amik botol kak adik, cepatlah ummi.." sambil menangis kak adik menarik tangan saya. sayu plak hati dibuatnya.

"kak adik, kita guna botol baru...lah nanti besok, ummi amiklah botol kak adik tue"
"tak mau, kak adik nak botol kak adik gak, tak mau ummi, jomlah ummi, cepatlah amik botol kak adik tue, cepatlah ummi"

nielah botol yang baru

Aduhai, rasa panas gak hati dibuatnya. Perjalanan ke taska kak adik memakan masa 30 minit. Saya tak kisah sangat pasal tue, masalahnya sekang dah pukul 6, kalau pergi pun akan sampai dalam 6.30 petang. Masalahnya taska kak adik dah tutup kecualilah kalau ada ibubapa yang lambat menjemput anaknya. Abang pula belum sampai rumah. Kepala saya makin berdenyut plak.

Satu perangai anak anak saya, dia tak suka botol baru. Mesti nak yang lama, Botol baru bukan main banyak lagi kat umah, tapi hanya sekadar koleksi. Tak pernah 3 dara nak menggunakannya. Kalau kakak dan kak adik taknak kan botol yang baru mungkin saya boleh faham tapi bila puteh yang baru setahun jagung pun bersikap sedemikian, termenung gaklah saya memikirkan. hmmm..


inilah botol kak adik

Akhirnya disebabkan tak tahan dengan tangisan kak adik yang makin menjadi jadi, saya plak yang merajuk.

"kalau kak adik tak nak dengar cakap ummi, biarlah ummi lari" saya pun terus masuk bilik dan kunci pintu. Kakak ketuk pintu minta buka tapi saya cuba kuatkan hati. Dalam pada itu saya terlelap sebentar akibat kepala yang  amat berdenyut.

sedar sedar kakak  mengetuk pintu.

"ummi, bukaklah pintu, kak adik tak nangis lagi dah"

saya pun bukak pintu. Dan kelihatan kak adik sedang bermain dengan puteh. Saya panggil kak adik.

"Siapa pujuk kak adik"

"kakak" jawab kak adik

"kakak kata apa..?"

"kak adik jangan nanis, ummi sakit..diam yea.." beritahu kakak.

Saya lantas memeluk kakak dan kak adik. Terasa kepala kembali lega.

Tak sampai 15 minit abang pun sampai. Kesudahannya semalaman kak adik tak minum susu, puas dipujuk tuk minum di botol baru, dia tetap taknak, ngan cawan pun taknak. Akhirnya kak adik tidur tanpa susu. Hmmm...sanggup tue. dan boleh plak dia tahan semalaman tanpa susu. Kak adik...kak adik..macam macam perangai.

17 March 2011

Bangun Lambat.........

  
  Hari ini saya terlambat bangun. Sedar sedar dah pukul 6.06 pg. Kelam kabut saya dibuatnya. Membayangkan baju kerja tak gosok lagi, baju 3dara belum masuk dalam beg lagi, susu lom buat lagi. Mengenangkan semuanya belum sedia, terduduk gak saya dibuatnya. Malas nak fikir semua tue, saya cepat cepat mandi.
   Keluar bilik air, dengan tangkas saya buat semuanya, gosok baju, siapkan baju 3 dara, kejutkan 3 dara, pakaikan baju dorang semua, sikat rambut, buat susu, panaskan enjin keter dan kesudahannya semuanya sudah berada dalam kereta tepat pukul 6.46 pg. fuhhh...Memang letih dibuatnya. Kelam kabut..Tak sangka plak bila abang takde camni plak jadinya. Nie kalau dia tahu nie, mau eksyen dia dibuatnya. hehehe tapi cam tak caya plak saya leh siapkan secepat ini. Benar gaklah telahan cik abang, katanya saya boleh buat kerja dalam keadaan stress, masa yang singkat dan kelam kabut. Menurutnya, kalau dia memang tak boleh buat kerja dalam keadaan kelam kabut camtue. hahahh...iyealah tue.

  
   Mujur tak lambat sampai pejabat. Pada mulanya memang saya dah bangun awal, tapi cam biasalah, konon nak tidur sekejap jea, sedar sedar dah kul 6. Malam tadi ingat nak siapkan semuanya tapi puteh plak meragam. Puas tidurkan dia. Kesudahaannya dengan saya tertidur sekali.
   Pengajarannya, saya perlu sediakan semuanya awal awal lagi agar kejadian cam tadi tak berulang kembali.

16 March 2011

Menangani Anak Yang Degil



Seringkali kedengaran ibubapa yang mengeluh kerana anak tidak mendengar kata. Disuruh pakai baju berkolar dia pilih kemeja leher bulat. Disuruh buat kerja rumah lepas magrib, dia enggan sebab itu waktu rancangan TV kegemarannya. Disuruh kemas bilik katanya dia senang barang-barangnya bersepah begitu sahaja.
Taat Biar Kena Pada Tempatnya
Cuba fikirkan sejenak. Benarkah kita mahu anak yang sentiasa taat seratus peratus?
Kajian menunjukkan sejumlah kes penderaan seks (sexual molestation) membabitkan kanak-kanak yang tidak tahu mengatakan "Jangan" atau "Tidak" pada pendera. Majoriti pendera seks dikenali oleh mangsa iaitu kanak-kanak terbabit. Ini bermakna, kanak-kanak ini dilatih dari kecil untuk patuh seratus peratus kepada orang yang lebih tua. Mereka tidak dididik untuk bersuara bila perlu dan bersikap asertif.
Sejarah membuktikan patuh membuta tuli parah akibatnya. Lihat sahaja kes Adolf Hitler yang berjaya memesongkan para pengikut yang taksub dengan kepemimpinannya. Kezaliman Adolf Hitler tidak mungkin berlaku tanpa adanya pengikut yang begitu ramai taat dan patuh kepada perintahnya.
Sifat degil ada baiknya jika kena pada tempatnya. Degil boleh bermakna tidak mudah terpengaruh dengan kawan yang cuba menjerat kita kepada tabiat yang tidak elok seperti merokok.
Sebenarnya yang kita mahu bukan anak yang taat seratus peratus. Yang kita mahu ialah:
  • Anak-anak yang bijak membezakan antara suruhan yang baik dengan perintah yang buruk
  • Anak-anak yang patuh kepada suruhan yang baik tetapi ingkar kepada perintah yang buruk
Yang Mana Lebih Penting?
Cuba senaraikan kesemua perkara yang anda tidak puas hati dengan anak anda.  Kemudian fikirkan yang mana patut menjadi prioriti. Contohnya:
Antara solat dengan kemeja berkolar. Yang mana lebih penting?
Antara kemas bilik dengan pandai mengambil hati adik. Yang mana lebih penting?
Ada kalanya kita terlalu banyak yang tidak puas hati dengan anak. Oleh itu kita lontarkan teguran demi teguran sepanjang hari. Meskipun niat kita baik, ingin mendidik anak sesempurna yang terdaya, akibatnya anak jadi keliru kerana terlalu banyak teguran dalam suatu tempoh masa tertentu. Jadi, pilih satu atau dua sahaja prioriti anda sekarang.
Pada pandangan saya, solat jauh lebih penting berbanding memakai baju berkolar.
Pandai mengambil hati adik lebih penting berbanding mengemas bilik.
Minta Penjelasan
Perhatikan perbualan berikut di antara Ayah dengan Isa (enam tahun). Isa berkongsi bilik dengan adiknya Azman (lima tahun) dan sering bertegang urat lebih-lebih lagi di waktu pagi.
Ayah: (dengan nada lembut) Isa, pagi tadi Ayah dengar adik menangis dalam bilik air. Apa yang berlaku?
Isa: (dahi berkerut) Isa marahkan dia. Susah sangat dia nak bangun, Ayah. Dia kata susah nak tidur sebab Isa asyik tendang dia malam tadi. Padahalnya dia yang tendang Isa berkali-kali.
Ayah: (tertawa kecil) Dah sah dua-dua anak Ayah.
Isa: (hairan) Kenapa Ayah?
Ayah: Dulu masa Isa kecil dan suka tidur dengan Ayah, Isa pun suka tendang Ayah larut malam! Nenek kata, ayah masa kecil dulu bila tidur memang ganas. Habis ditendang orang kiri kanan.
Latih Anak Berfikir Secara Rasional
Perhatikan:
  • Ayah menggunakan nada lembut jadi si anak tidak merasa tercabar. Ini penting supaya si anak boleh menjawab soalan dengan rasional bukan secara defensif dan emosional.
  • Ayah bertanya "Apa yang berlaku" dan bukan "kenapa" atau "mengapa". Kanak-kanak kecil sukar menjawab soalan "kenapa" dan "mengapa" dalam situasi begini kerana ianya seolah-olah mendesak mereka mencari alasan bagi perbuatan yang telah dilakukan. (Jawapan untuk "mengapa" mungkin: "Saya cemburu sebab Ayah lebih banyak luangkan masa dengan adik" atau "Saya geram sebab Adik pandai. Dia selalu dapat keputusan peperiksaan lebih cemerlang dari saya"!)
  • Bila Ayah bertanya "Apa yang berlaku?", si anak hanya perlu menceritakan fakta-fakta kejadian terbabit. Si Ayah seterusnya boleh membuat tanggapan dan rumusan sendiri.
  • Hasilnya, Isa tersedar dia sendiri melakukan perkara yang dia tuduh adiknya lakukan! Sejak saat ini, kes "siapa tendang siapa" tidak lagi menjadi isu dalam keluarga ini.
Bandingkan dengan:
Ayah: (nada meninggi) Apa bising-bising Ayah dengar pagi tadi?
Isa: Tapi Ayah ...
Ayah: Berapa kali Ayah dah kata jangan gaduh dengan adik. Isa ni degil benar, tak dengar cakap Ayah!
Di sini si anak langsung tidak diberi peluang untuk menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.
Antara Lembut Dan Tegas
Ini tidak bermakna kita perlu berlembut setiap masa dengan anak. Adakalanya kita perlu tegas.
Contoh:
Ibu menyuruh Din (lapan tahun) mengemas bilik. Ibu sediakan satu senarai perkara-perkara yang perlu dibuat oleh Din. Berikut senarai yang Ibu berikan pada Din:
  • Ambil baju kotor atas lantai, masukkan dalam bakul kain kotor
  • Susun buku atas meja
  • Kemas katil (lipat selimut, susun bantal)
  • Kutip mainan atas lantai, masukkan dalam bakul mainan
Sesetengah anak, terutama anak lelaki lebih mudah mengikuti senarai arahan sebegini kerana dua sebab:
1. Ia spesifik, jadi mereka tahu apa sebenarnya yang perlu dibuat.
2. Kata-kata "kemas bilik" kabur untuk sesetengah kanak-kanak.
Tegas Hanya Bila Perlu
Bagaimana jika anak enggan mengemas bilik meskipun anda sudah sediakan senarai sebegini?
Perhatikan komunikasi di bawah:
Ibu: (berdiri di pintu) Isa, Ibu lihat bilik ni belum dikemas lagi.
Isa: (bermain komputer) Alaa... nantilah Ibu.
Ibu: (tercegat di pintu dan bercakap dengan nada tegas) Isa, Ibu nak Isa kemaskan bilik ni sekarang.  (Ibu tidak beredar dan menunggu sehingga Isa mengemas biliknya.)
Dalam komunikasi di atas, perhatikan:
Nada suara Ibu tegas tetapi tidak menengking. Ibu tidak berleter tetapi menyatakan dengan jelas apa yang dia mahu Isa lakukan. Isa berhenti bermain komputer dan terus mengemas biliknya kerana dia terasa kurang enak bila menyedari Ibunya tidak akan beredar selagi dia tidak berbuat demikian.
Segalanya Lebih Mudah Jika Anda Mesra Dengan Anak
Rata-rata kanak-kanak tidak suka sengaja menyakiti hati ibu bapa. Malah, boleh dikatakan kesemua anak-anak ingin menyeronokkan hati ibu bapa. Ini memang naluri mereka sebagai anak. Jadi, bersangka baiklah dengan anak anda.  Sebenarnya, anak anda (tidak kira berapa umurnya) lebih mudah menerima pandangan dan nasihat yang anda berikan jika anda rapat dan mesra dengannya.
Jangan cepat melenting dan menggelar anak sebagai 'degil' atau 'malas' bila dia enggan mematuhi suruhan anda. Apa sahaja gelaran yang anda gunakan untuk anak anda sama ada buruk mahupun yang baik adalah doa yang boleh dimakbulkan Allah bila-bila masa sahaja.
Dari sudut psikologi pula, kanak-kanak cenderung bertindak sesuai dengan tanggapan kita. Ini bermakna, jika kita menganggapnya 'degil', dia akan cenderung untuk berperangai degil. Sebaliknya jka kita menganggapnya "malas", dia akan lebih cenderung bersikap "malas".
******************************************************************
Setiap anak dilahirkan dengan pembawakan dan personaliti unik.
Ada yang pendiam. Ada yang peramah.
Ada yang aktif, pantang lihat aktiviti di depan mata, mesti dia nak join sama. Ada yang lebih suka "tunggu dan lihat dulu"; anak yang tabiatnya begini ambil masa untuk bergaul dengan orang lain.
Ada yang lebih mudah mendengar kata dan ada yang sebaliknya.
Apa Jua Personaliti, Potensi Untuk Berjaya Tetap Sama
Allah Maha Adil Lagi Maha Saksama. Anak yang pendiam potensi untuk berjaya dalam hidup secerah anak yang peramah.
Anak yang aktif dan belum sempat diberi arahan sudah terjun masuk padang potensi untuk berjaya dalam hidup secerah anak yang suka "tunggu dan lihat dulu".
Begitu juga, anak yang "degil" potensi untuk berjaya secerah anak yang lebih mudah mendengar kata.
Cabaran untuk kita membentuk dan membimbing setiap anak tak kira apa jua pembawakannya supaya dia yakin dia boleh menjadi insan yang cemerlang, seorang Muslim profesional yang bertaqwa.
Anak Kecil Bertindak Ikut Rasa
Anak yang masih kecil seperti anak bongsu Puan bertindak mengikut rasa. Lazimnya anak sekecil ini akan "buat perangai" jika terlalu letih, lapar atau kurang sihat. Anak yang sudah letih, lapar atau kurang sihat bila dibawa keluar membeli-belah dan bertembung dengan orang-ramai, sudah tentu makin tidak selesa. Pastikan ini tidak berlaku untuk anak Puan. Soal dia mengikut perangai abangnya tidak timbul sama-sekali kerana pembawakan/personaliti setiap anak berbeza.
Tanya "Apakah Isu Sebenarnya?"
Untuk anak sulung Puan:
Setiap kali berlaku konflik antara Puan dan dia, cuba tanya: "Apakah isu sebenarnya untuk situasi ini?"
Jika dia pernah mengambil bahagian dalam program perkhemahan sekolah sebelum ini, mungkin ada pengalaman kurang menyenangkan atau menakutkan yang membuatkannya serik untuk pergi sekali lagi. Umpamanya terpaksa pergi ke tandas yang jauh seorang diri di tengah malam. Atau dibuli kawan. Atau hampir lemas sewaktu menyeberang sungai (yang mungkin tidak diceritakan kepada Puan).
Jangan andaikan setiap kali dia membantah, sebabnya sama iaitu dia sengaja hendak membantah cakap Puan. Jika ini berlaku, Puan terperangkap dalam apa yang kita katakan sebagai "negative thinking pattern" atau corak pemikiran negatif.
Untuk situasi-situasi lain :  Katakan dia membantah setiap kali Puan menyuruhnya membasuh kasut. Ada beberapa langkah yang boleh Puan cuba:
1. Jangan desak dia melawan Puan
Tentunya sebagai ibu Puan yakin apa saja yang Puan lakukan ialah demi kebaikannya. Tetapi anak semuda ini fikirannya belum sampai ke situ. Berhemahlah. Menengking atau mengherdik atau apa jua cara kasar yang lain hanya membuatkan dia merasa terdesak untuk melawan Puan.
2. Beri Pilihan
Tanya: "Azam nak basuh kasut hari Sabtu atau Ahad?" atau "Azam nak balik sekarang atau sepuluh minit lagi?" Cara ini membuatkan dia merasa dirinya diberi ruang untuk bebas membuat keputusan sendiri.
3. Biasakan Dia Dengan Rutin Harian
Rutin yang tidak menentu mengelirukan anak-anak. Jika sudah biasa makan malam sebelum magrib dan tidur pukul sembilan malam, sukar untuk dia membantah sebab dia sedia maklum itu stail keluarganya sendiri. Bandingkan dengan masa makan malam atau waktu tidur yang tidak menentu.
Anak Degil Berpotensi Jadi Pemimpin
Ciri-ciri pemimpin berkaliber di seluruh dunia termasuk: tidak mudah dipengaruhi orang lain. Bukankah ini sifat anak yang degil? Jika terasa seorang anak itu degil dan sukar dididik, yakinlah ada cara yang efektif untuk membentuknya menjadi insan yang dibanggakan.
Sangka Baik Dengan Allah Maha Bijaksana
Bukankah Allah Maha Mengetahui? Bukankah Allah Maha Merancang? Bukankah Allah tahu anak ini sukar dibesarkan? Sedalam mana Puan sayangkan anak, Allah jauh lebih sayangkan dia. Jadi bersangka baiklah dengan Allah. Allah tahu sepayah mana Puan membesarkannya. Allah maklum sesukar mana anda berusaha. Perbanyakkan doa. Jangan sekali-kali remehkan doa kerana inilah senjata orang mukmin. Usaha semata-mata tidak mencukupi.
Waktu Marah Melanda, Ambil Wudhu dan Beristighfar
Pelbagai emosi yang dialami ibubapa yang membesarkan anak yang degil. Geram berbaur marah melanda setiap kali anak tidak mengikut kata. Jika kita yang dewasa dan dikira matang tidak dapat mengawal perasaan, apatah lagi anak sekecil ini?
Cara efektif menyejukkan api kemarahan ialah dengan mengambil wudhuk dan beristighfar. Api lawannya air. Ini penting khususnya untuk ibu bapa yang mudah baran. Allah beri apa yang kita perlu bukan apa yang kita pinta. Allah Maha Bijaksana tahu apa yang kita perlukan untuk menjadi insan yang lebih berwibawa. Bila buntu bersujudlah dan merayulah kepada-Nya untuk membantu. Allah tidak sekali-kali menghampakan hambaNya yang ikhlas meminta dan berharap dari-Nya.
sumber : iluvislam.com