13 January 2011

Selipar oh selipar...

Dalam mendidik anak sedikit sebanyak saya selitkan panduan islam agar anak tidak tersasar. Biarpun kakak, kak adik serta puteh masih kecil, saya tetap menerangkan biarpun saya tahu tahap kemampuan mereka bertiga.

Paling mudah dan simple adalah mengenai halal. Setiap kali pergi kedai, pasaraya saya akan menunjukkan tanda logo halal kepada 3 Dara sambil menerangkan hanya boleh beli jika ada tanda ini jika tiada, kita tidak boleh beli.

Hasilnya setiap kali mereka hendakkan sesuatu mereka akan mencari tanda halal itu, jika tiada mereka tidak akan mengambilnya. Hmm..nampaknya apa yang saya ajari telah melekat di sanubarinya. Lega rasanya. Sekurang-kurang nya untuk peringkat ini saya dah berjaya..heheh.

Petang itu, saya pulang rumah dengan begitu semangat sekali. Saya ada membelikan Kakak selipar memandangkan seliparnya telah uzur benar. Sesampai di rumah saya menunjukkan selipar yang saya beli itu kepada kakak. Kakak begitu seronok sekali tambahan plak saya membelikannya warna pink. Kakak terlalu suka akan warna pink. Kalau boleh semuanya nak warna pink. Manakala warna merah menjadi pilihan kak adik sementara puteh belum menunjukkan tanda minat akan sesuatu warna.

Kakak mula menyarungkan kakinya. Maklumlah selipar baru. Cepat jea nak try. Tiba-tiba kakak terhenti dari menyarungkan kakinya.

Dengan wajah yang berkeriut, kakak membawa sepasang seliparnya ke arah saya

"ummi, selipar nie tak boleh pakailah"

"aik, naper..tak muat ngan kakak ker" setahu saya, saya telah mencari saiz yang bersesuaian dengan kakak.

"selipar ini muat ummi, tapi takde halal lah ummi, ummi kata kalau takde halal, tak boleh."

Saya hampir nak terburai ketawa. Sedaya upaya saya menerangkan kepada kakak mengenai perbezaan makanan ngan selipar namun apalah yang mampu difahami oleh kanak kanak seusia kakak.

Akhirnya saya mengalah.

"Ada tanda halal tadi, tapi ummi dah cabut (tanggal) kan"

"ooo...ummi dah cabut yea.." soal kakak. 

Dan barulah wajah kakak kembali berseri lantas menyarung selipar kembali.

Kakak..kakak...Saya hanya memerhatikan keletah kakak yang begitu gembira akan selipar barunya. Biarlah..suatu masa nanti kakak akan faham akhirnya. 



Orang Islam....

Petang itu, saya dan abang begitu penat sekali. Walaupun hari itu saya mendapat mc akibat dari sakit mata namun sehari suntuk saya belum dapat merehatkan diri. Pulang dari klinik menguruskan kereta yang menghadapi sedikit masalah. Hampir 3 jam menunggu di bengkel barulah segala urusan selesai, selepas itu menuju ke pasaraya membeli barangan dapur yang sudah kehabisan stok. Walau mata mula terasa pedih, saya tetap mengagahi diri memandangkan ini saja masa yang ada. Lagipun dapat mc selama dua hari jadi biarlah satu hari ini penat sepenat-penatnya nanti besok boleh rehat sepuas-puasnya. Mujur ada abang yang sudi cuti menemani saya menyelesaikan segala urusan. Kalau tidak, jenuh juga nak menyelesaikan semuanya dalam masa hanya satu hari.

Selesai urusan di pasaraya, saya dan abang mengambil kakak, kak adik dan puteh di taska dan tabika. Dalam kereta seperti biasa memang takkan duduk diam. Entah kenapa kakak pula yang banyak ragam. Dah makan nak air pula. Minta bersabar tetap juga merengek nak air. Sibuk suruh berhenti di mana mana tepi jalan agar dapat membelikannya air. Kebetulan sepanjang jalan tiada kedai, yang ada hanyalah gerai. itupun dari kalangan bangsa asing. Puas dipujuk tapi kakak tak makan dipujuk.

Saya yang memang dah letih mulalah terasa nak melenting. Entah kenapa Kakak menjadi sasaran kemarahan saya.

" Kakak, berapa kali ummi kata, tak jumpa kedai, yang ada gerai orang cina ngan india,kan ummi kata tak boleh beli, tak halal, abis kakak nak beli juga, Kakak ini orang apa..ummi dah pesan banyak kali.." suara saya mula meninggi

kakak hanya diam. Sekali sekala dia merengek.

Sekali lagi saya bertanya

"Kakak orang apa.."

Perlahan lahan kakak menjawab.

"Orang Islam..."

Aku yang nak marah tadi mula nak tergelak. Abang di sebelah dah melepaskan ketawanya. Aku hanya menjeling pandang kepada abang seraya berkata "tak lawak pun"

Walau dalam hati terasa nak gelak tetapi tetap kutahan nanti tak pasal pasal kakak pelik. Tadi ummi marah nie ketawa plak..haii anak ummi, rupanya ummi dah salah bagi penerangan. ummi ingat kakak nk cakap orang melayu tapi lain pula jawapannnya. tuelah nak mengajar anak tp ilmu tak cukup. Sebenarnya dalam nak menerangkan kepada anak berhubung halal dan haram banyak penerangan yang perlu diterangkan. Nanti tak pasal pasal kita plak yang terkena balik. Macam saya tadi. Betul..Tak semua orang cina itu cina, dan tak semua orang india itu india dan tak semestinya orang melayu itu melayu. Yang penting tak kira cina ke india ke melayu ke yang penting adalah islam. Terima Kasih kakak kerana mengingatkan ummi.

Nampak gayanya pas nie kenalah lebih berhati hati dalam mendidik anak.hmm..

Lagu Kanak Kanak

Oh Bulan

Oh Bulan
Di mana bintang?
Sudah terlindung di kayu ara

Oh Sayang
Di mana Bujang?
Sudah jadi orang perkasa!

Tidurlah Adik

Hendak gugur, gugurlah nangka
Jangan ditimpa dahan pauh
Hendak tidur, tidurlah mata
Jangan dikenang ibu yang jauh

Tidurlah intan, tidurlah sayang
Dudu di dudu, dudu di dudu

Buah pepaya lebat di batang
Tumbuhnya dekat pohon ramunia
Ibu bekerja pagi dan petang
Sekejap lagi pulanglah dia

Tidurlah intan, tidurlah sayang
Dudu di dudu, dudu di dudu

Elok rupanya kumbang jati
Dibawa itik pulang petang
Tidak terkata besar hati
Melihat ibu sudah petang

Tidurlah intan, tidurlah sayang
Dudu di dudu, dudu di dudu


Dua lirik lagu di atas sering kunyanyikan tika mendodoi 3Dara waktu kecil dahulu. Berbanding ngan sekarang, lagu sebegini kurang mendapat tempat di hati kita. Sedangkan lirik dan lenggok lagunya penuh kelembutan dan ada maksud baik yang disampaikan. Bila mengenang kembali, halwa telinga kita semakin kurang didedahkan dengan lagu sebegini. Dulu biarpun kolot, kurang maju tapi kita kaya dengan budi bahasa. Berbanding sekarang. anak2 kecil lebih didedahkan dengan lagu orang dewasa. Buktinya lihat saya Idola Kecil. Anak yang sebegitu kecil diberikan pendedahan yang tidak sepatutnya.

Terkadang terdetik di hati, dugaan terlalu hebat sekarang sehingga sukar untuk kita meneka bagaimanakah rupanya wajah dan tingkah generasi akan datang..ermm...Mampukah 3 Dara dan seangkatan dengannya mengatasinya..

Harap generasi ini sentiasa teguh pada adat budaya yang murni serta taat pada agama...amin..